Rabu, 21 Disember 2011

Kisah Cinta Setanding Shah Jehan dan Mumtaz


Siapa bilang kita tiada kisah cinta sehebat Shah Jehan dan Mumtaz?

Mungkin tidak ramai yang tahu, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dari Aceh (ejaan Acheh di Malaysia) yang berkuasa dari tahun 1607 sampai 1636 telah mengahwini seorang Puteri Raja dari Pahang, sebuah negeri yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Sultan Iskandar Muda, Sultan Aceh yang terkenal ini bukan sahaja dikenali di Indonesia, tetapi turut dikenali di Malaysia kerana namanya juga di muatkan dalam buku teks sejarah di sekolah sebagai salah seorang pemimpin yang sering menggagalkan usaha Portugis untuk menakluki Kepulauan Melayu.

Lantas, siapakah Puteri Raja Pahang yang dikahwininya?


Puteri Raja tersebut ialah Puteri Kamaliah. Puteri Kamaliah bukan sahaja cantik malah terkenal dengan kebijaksanaanya seperti kata pepatah Aceh:

Adat bak Poe Teumeureuhom
Hukom bak Syiah Kuala
Qanun bak Putroe Phang
Reusam bak Laksamana

Artinya:

Adat pada Marhum Mahkota Alam
Hukum pada Syiah Kuala
Kanun pada Puteri Pahang
Resam pada Laksamana

Kanun adalah perkara berkaitan undang-undang. Jelas difahami bahawa Puteri Kamaliah (Putroe Phang) adalah tempat di mana masyarakat Aceh meminta nasihat berkenaan perundangan.

Oleh kerana rindunya Putroe Phang kepada tanah airnya iaitu negeri Pahang, Sultan Iskandar Muda telah membina sebuah taman berbentuk gunung-ganang kerana negeri Pahang terkenal dengan Banjaran Tanah Tinggi yang bergunung-ganang. Putroe Phang amat menyukai taman ini dan sering bermain main bersama dayang-dayangnya di sini. Ini adalah bukti betapa besarnya cinta Sultan Iskandar Muda kepada isterinya.

Taman itu dikenali sebagai Gunongan dan masih berdiri hingga ke hari ini dan menjadi daya tarikan perlancongan di Banda Aceh. Walaupun Aceh kini sudah tidak lagi mempunyai Sultan. Waris mereka masih ada.

Pada 31 Mac 2011, Permaisuri Negeri Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Iskandar Al-Haj dan rombongannya telah berkunjung ke Aceh bertemu dengan waris dari Sultan terakhir Aceh, Sultan Muhammad Daud Syah iaitu Tuanku Raja Yusuf Bin Tuanku Raja Ibrahim Bin Sultan Mahammad Daud Syah di ruang pertemuan sebuah hotel. Keduanya kemudian kembali membahas sejarah dan hubungan mesra yang sempat terjalin antara Pahang dengan Aceh.

Pertemuan ini sangat emosional. Saya(penulis) yang dilahirkan di negeri Pahang tidak akan lupa jasa jasa Sultan Iskandar Muda dalam membebaskan Pahang dan sebahagian negeri di Semenanjung dari perluasan dan kerakusan Portugis yang sudah pun menakluki Melaka dalam genggaman mereka.

Bacaan lanjut mengenai pertemuan keluarga di Raja Pahang dan Aceh Klik di sini.

- Oleh Admin Laksa
AYO KOMENTAR via FACEBOOK [KLIK]

IP Anda

IP

Arkib Blog

Flag visitor

 

Malaysia-Indonesia Sahabat Selamanya | Hak Cipta Terpelihara 2010-2012 | 'Like' MISS@Facebook | 'Follow' MISS_Season4@Twitter